Skip to main content
News

ETHOVENT: Semi-Ventilator Pertama Di Malaysia Dilancarkan

Cyberjaya, 10 Julai 2020 – Ethovent, semi –ventilator pertama ciptaan syarikat tempatan dilancarkan secara bersama oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan.

Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, pelbagai inovasi sosial tempatan bagi memperkasa komuniti telah dihasilkan. Saora Industries Sdn. Bhd. melihat peluang untuk melaksanakan inovasi sosial dalam bidang kesihatan setelah melihat sendiri hospital dan petugas barisan hadapan berdepan dengan masalah kekurangan ventilator susulan peningkatan bilangan pesakit.

Hanya dalam masa tujuh minggu, mereka berjaya membangunkan Ethovent, semi-ventilator yang pertama dicipta di Malaysia dengan menekankan tiga (3) aspek utama iaitu mampu milik (affordability), kebolehcapaian (accessibility) dan kebolehpercayaan (reliability).

Semi-ventilator ini telah berjaya menjalani ujian klinikal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan telah mendapat maklum balas yang mengalakkan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Semi-ventilator ini merupakan projek rintis di bawah National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang diumumkan YAB Perdana Menteri di bawah PENJANA. Semi-ventilator ini juga telah mencipta sejarah kerana ia adalah alat perubatan inovatif pertama yang telah mendapat pensijilan di Asia Tenggara, yang membolehkannya untuk dieksport ke negara-negara luar.

Semasa pelancaran, YB Khairy Jamaluddin berkata, “Dengan membangunkan strategi perniagaan berpaksikan kepada pembangunan sosial, Ethovent bukan sahaja telah mencipta penyelesaian yang menjimatkan, tetapi mereka telah menunjukkan kepada kita bahawa asas inovasi sosial boleh membawa perubahan kepada masyarakat.

“Mulai sekarang, mereka yang berminat untuk mengambil dan meneruskan usaha Ethovent akan mendapat akses kepada hak intelek Ethovent. Ini adalah contoh terbaik inovasi sosial – di mana Saora mengubah satu idea kepada perusahaan yang berpotensi untuk mengubah kehidupan manusia dan terus berusaha keras membantu perusahaan lain mengambil dan membangunkan projek ini’ tambahnya.

Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC mengulas lanjut mengenai kejayaan usahawan seperti Ethovent, salah sebuah alumni MaGIC membuktikan bahawa inovasi sosial sedang berkembang di Malaysia. “Oleh kerana kami mengenali dan memahami keperluan usahawan, kami boleh membantu menyediakan ekosistem yang membolehkan mereka untuk mempercepatkan inovasi,” katanya.

YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri Mengenai Kesihatan Awam, YBhg. Dato’ Abdul Rahman bin Dato’ Mohd Hashim, Pengerusi MaGIC dan YBrs. Tuan Ganesh Muran, Founder & CEO Soura Industries turut hadir pada majlis tersebut.

 

1 4 2 4 3 4 4 4 5 3 6 3 7 1

Skip to content