10 Julai 2025, China – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke Beijing bagi menghadiri Global Civilizations Dialogue Ministerial Meeting di Beijing, Republik Rakyat China dari 10 hingga 11 Julai 2025.
Program anjuran Kerajaan Republik Rakyat China ini bertujuan menghimpunkan pemimpin parti, pegawai kerajaan, ketua organisasi antarabangsa dan wakil daripada pelbagai sektor dan memperkukuhkan pertukaran antara tamadun serta mempromosikan keamanan dan pembangunan dunia.
Susulan acara pembukaan program, satu sesi perbincangan panel telah diadakan melibatkan wakil-wakil dari pelbagai negara. YB Tuan Chang Lih Kang telah menyampaikan ucapan mewakili negara dalam sesi dialog panel bertemakan “Jointly Advocating the Importance of Civilizational Inheritance and Innovation” yang turut disertai Essam Sharaf, mantan Perdana Menteri Mesir dan Alpidio Alonso Grau, Menteri Kebudayaan Cuba.
Dalam sesi tersebut, YB Tuan Chang Lih Kang menegaskan bahawa sains dan teknologi adalah medium penting dalam pertukaran antara tamadun, dan dalam dunia yang serba moden ini, inovasi kian melangkaui sempadan geografi sesebuah negara. Menerusi kerjasama sains, teknologi dan inovasi (STI), hasil pertukaran tersebut akan terus membantu setiap masyarakat dunia untuk menggerakkan usaha bagi mencapai pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan mengatasi masalah global secara bersama.
Penyertaan Malaysia dalam program ini adalah sebahagian dari diplomasi sains dengan Republik Rakyat China susulan dari ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara tahun lepas, dan bertepatan dengan komitmen Malaysia sebagai negara Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Seterusnya, YB Tuan Chang Lih Kang turut menghadiri majlis resepsi dan persembahan kebudayaan di National Centre For The Performing Arts Beijing.
- _cuva