28 April 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIMOS Berhad dan Huawei Malaysia.
MoU ini adalah kerjasama bagi membangunkan program latihan ‘𝘜𝘱𝘴𝘬𝘪𝘭𝘭𝘪𝘯𝘨 𝘧𝘰𝘳 𝘋𝘦𝘦𝘱 𝘛𝘦𝘤𝘩 𝘢𝘯𝘥 𝘍𝘶𝘵𝘶𝘳𝘦 𝘚𝘬𝘪𝘭𝘭𝘴’ yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan menempatkan tenaga kerja terlatih tempatan dalam industri deep tech. Menerusi MoU yang dimeterai, MIMOS dan Huawei Malaysia akan saling bekerjasama bagi membentuk program kemahiran teknologi yang dapat menambahbaik kebolehan dan kepakaran digital di kalangan tenaga kerja tempatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, Program latihan ‘𝘜𝘱𝘴𝘬𝘪𝘭𝘭𝘪𝘯𝘨 𝘧𝘰𝘳 𝘋𝘦𝘦𝘱𝘵𝘦𝘤𝘩 𝘢𝘯𝘥 𝘍𝘶𝘵𝘶𝘳𝘦𝘴𝘬𝘪𝘭𝘭𝘴’ merupakan inisiatif MOSTI untuk membantu industri mendapatkan pekerja yang berkredibiliti dan mempunyai kemahiran yang kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja melalui pendedahan kepada keperluan sebenar industri. Antara lain, program ini bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia terutamanya mereka yang hilang sumber pendapatan untuk kembali menjana pendapatan stabil serta berpeluang untuk meningkatkan kemahiran diri.
YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba turut mengumumkan bahawa pada bulan Jun tahun ini, MIMOS akan melancarkan Program Transformasi Digital untuk memilih bakat-bakat di kalangan syarikat-syarikat berasaskan teknologi maklumat tempatan untuk menjalani latihan dan pensijilan Huawei Certified ICT Associate oleh Huawei. MIMOS mensasarkan penyertaan 1,000 calon bagi menjalani program dan latihan ini.
“Saya percaya dengan keupayaan, kepakaran dan kerjasama antara MIMOS dan Huawei Malaysia dalam bidang teknologi termaju, elektrik dan elektronik serta dengan fasiliti canggih yang disediakan Huawei, program ini akan meningkatkan kemahiran dan daya saing yang mampan dalam kalangan rakyat Malaysia.’’ kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Dengan kerjasama MIMOS, Huawei Malaysia akan menjadi penyedia latihan rasmi untuk membentuk dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam industri bagi mempromosikan dan mengembangkan kumpulan bakat tempatan. Kedua-dua pihak akan menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh untuk mengenal pasti calon berpotensi dalam industri serta agensi kementerian untuk menyertai program tersebut. Para peserta yang terpilih akan berpeluang menyertai latihan yang dikelolakan oleh Huawei Malaysia Global Training Center (MGTC).
MGTC adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di luar negara China. Pusat Latihan ini bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab latihan terkemuka bagi teknologi ICT dan pembangunan bakat di mana kerjasama antara Huawei dan MIMOS akan menyumbang ke arah merealisasikan objektif pusat itu.
MIMOS sebagai agensi strategik di bawah MOSTI akan menawarkan latihan dan pensijilan profesional yang memfokuskan kepada bidang 5G, 𝘈𝘥𝘷𝘢𝘯𝘤𝘦𝘥 𝘐𝘯𝘵𝘦𝘭𝘭𝘪𝘨𝘦𝘯𝘵 𝘚𝘺𝘴𝘵𝘦𝘮𝘴, 𝘈𝘶𝘨𝘮𝘦𝘯𝘵𝘦𝘥 𝘈𝘯𝘢𝘭𝘺𝘵𝘪𝘤𝘴 dan teknologi D𝘢𝘵𝘢 𝘋𝘪𝘴𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳𝘺.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr. Iskandar Samad berkata, “sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan nasional, MIMOS komited menyokong inisiatif 𝘋𝘦𝘦𝘱 𝘛𝘦𝘤𝘩 𝘢𝘯𝘥 𝘍𝘶𝘵𝘶𝘳𝘦 𝘚𝘬𝘪𝘭𝘭𝘴 untuk membangunkan bakat dalam teknologi termaju.”
Sementara itu, menurut Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, “untuk mengukuhkan asas ekosistem digital, memupuk bakat digital amat penting untuk pembangunan negara. Tambahnya lagi, “Huawei Malaysia akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk transformasi industri termasuk membimbing kumpulan bakat digital yang lebih besar di Malaysia, dan membantu membangunkan lebih banyak bakat digital sebagai tenaga kerja Malaysia yang merentasi industri, sekaligus memperluaskan sempadan digital mereka dengan menggunakan kemahiran dan kepakaran kami.”
MOSTI di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia diberi mandat untuk mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang 𝘥𝘦𝘦𝘱𝘵𝘦𝘤𝘩 & 𝘧𝘶𝘵𝘶𝘳𝘦𝘴𝘬𝘪𝘭𝘭𝘴.