PUTRAJAYA, 18 APRIL 2017 – Malaysia melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran UNESCO-Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) 11th Session of the Intergovernmental Coordination Group for the Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (ICG/IOTWMS-XI) yang diadakan pada 18 hingga 20 April 2017 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Mesyuarat ICG/IOTWMS-XI ini bertujuan bagi merancang pelan dan pelaksanaan sistem amaran awal tsunami yang mantap dan efektif di Lautan Hindi serta meningkatkan kerjasama serantau negara-negara di rantau Lautan Hindi terutamanya dalam bidang pembangunan, operasi dan keutuhan jangka panjang bagi ICG/IOTWMS.
ICG/IOTWMS-XI telah disempurnakan perasmiannya oleh YBrs. En. Kua Abun, Timbalan Setiausaha (Perancangan dan Pengkomersialan) MOSTI, mewakili YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. Menurut En. Kua Abun yang membacakan teks ucapan YB Menteri berkata, “Pendekatan yang lebih holistik dan inovatif dalam menangani bencana gempa bumi dan tsunami adalah penting dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa, harta benda dan mata pencarian daripada kemusnahan dan kerugian. Malaysia telah mengambil langkah ke arah melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 dengan menggalakkan dan meningkatkan dialog dan kerjasama di kalangan masyarakat sains dan teknologi, pihak berkepentingan dan pembuat dasar berkaitan untuk memastikan keputusan yang berkesan dilaksanakan dalam pengurusan risiko bencana.”
“Satu sistem amaran awal (EWS) yang diterajui oleh MetMalaysia telah diiktiraf dalam Kerangka Kerja Sendai sebagai faktor penting dalam mengurangkan risiko kehilangan jiwa, kecederaan, wabak penyakit, kehilangan mata pencarian dan kerosakan kepada harta akibat bencana yang dicetuskan oleh jenis bahaya yang berlainan. Keupayaan untuk menyampaikan maklumat penting dan ramalan impak kepada kumpulan sasaran yang betul membolehkan keputusan dan tindak balas yang pantas untuk melindungi rakyat dan kehidupan mereka. Saya percaya bahawa kita harus memanfaatkan kemajuan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk meningkatkan dan mengukuhkan keupayaan pengurusan dan pengurangan bencana negara ini” tambah beliau lagi.
ICG/IOTWMS telah ditubuhkan susulan daripada tragedi tsunami pada 26 Disember 2004, di mana lebih 250,000 nyawa terkorban di sekitar rantau Lautan Hindi. Perhimpunan Ke-23 Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) of UNESCO yang diadakan di Paris dari 21 hingga 30 Jun 2005 secara rasminya mewujudkan Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (IOTWMS) melalui Resolusi IOC-XXIII-12 dan kini dianggotai oleh 28 buah negara. Mesyuarat-mesyuarat ICG/IOTWMS dihadiri oleh pegawai kanan negara-negara ahli IOC, ICG/IOTWMS dan negara-negara serantau yang terlibat dengan pengoperasian pusat-pusat amaran tsunami dan pengurusan bencana. Sehingga kini sebanyak 10 sesi mesyuarat ICG/IOTWMS telah diadakan dan Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat ICG/IOTWMS-V di Putrajaya pada 8-10 April 2008.
Dalam ucapan penutupnya, YB Menteri berharap mesyuarat ini dapat dijadikan sebagai satu platform untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dan lebih rapat antara semua negara anggota yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menangani isu-isu yang berkaitan pengurusan bencana.