11 November 2025, Kuala Lumpur – Pusat Sains Negara (PSN) hari ini menjadi lokasi penutup rasmi Karnival Kemuncak Minggu Sains Negara (MSN) 2025, menandakan berakhirnya siri program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di seluruh negara.
Majlis disempurnakan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, yang menegaskan kepentingan membudayakan daya cipta dan mengubah masyarakat daripada pengguna pasif kepada penyumbang aktif dalam revolusi digital serta teknologi. Beliau menambah bahawa negara berdaya cipta mampu menyediakan ekosistem yang merangsang kreativiti, menggalakkan inovasi serta wajar dipupuk sejak di bangku sekolah.
Sejak dilancarkan pada 2018, MSN merupakan inisiatif berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membudayakan STI selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030. Edisi 2025 mencatat lebih 300,000 penyertaan di seluruh negara.
MSN 2025 digerakkan melalui tiga pendekatan utama – MSNKarnival di enam zon, MSNKembara ke sekolah luar bandar termasuk Sabah, Sarawak dan sekolah tahfiz, serta MSNTaja melalui kerjasama strategik pelbagai pihak. Bermula di Sarawak dan berakhir di Kuala Lumpur, siri karnival ini menampilkan aktiviti STEM interaktif, bengkel, demonstrasi dan pertunjukan teknologi masa depan.
MOSTI kekal komited memperkukuh kolaborasi dengan kementerian teknikal, institusi pendidikan dan industri bagi menjayakan Agenda STEM Nasional serta melahirkan modal insan STI ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Turut hadir, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI dan YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara MOSTI serta tetamu jemputan.




