Skip to main content
News

Keusahawanan Sosial Tempatan Memenangi Geran Inovasi Ekspo 2020 Dubai

Selangor, 13 Ogos 2020 – Usaha murni daripada usahawan sosial tempatan, PichaEats yang memulakan inisiatif membantu keluarga pelarian untuk berdikari serta mampu memberi pendidikan kepada anak-anak mereka telah mendapat pengiktirafan global apabila memenangi Expo Live Innovation Impact Grant baru-baru ini. PichaEats telah mengalahkan ribuan penyertaan yang bersaing untuk memenangi geran Ekspo 2020 Dubai tersebut.
Expo Live Innovation Impact Grant merupakan inisiatif daripada Ekspo 2020 Dubai yang bertujuan untuk memberikan dana, sokongan perniagaan dan pendedahan kepada penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar. Ia telah menerima lebih 11,000 penyertaan dan sebanyak 142 inovator global termasuk PichaEats telah ditawarkan dana bernilai sehingga US$100,000 setiap satu.
Bersempena dengan sambutan Hari Belia Antarabangsa yang bertemakan Penyertaan Belia dalam Tindakan Global, PichaEats diraikan dalam satu Majlis ringkas anjuran MOSTI melalui Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) yang juga merupakan agensi pelaksana bagi penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai.
Penghargaan disampaikan oleh YBhg. Dr. Mohd Nor Azman, Timbalan Ketua Setiausaha, MOSTI yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya Jeneral Malaysia bagi Ekspo 2020 Dubai. Turut hadir dalam majlis ini ialah YAM Tunku Dato’ Seri Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz yang merupakan duta bagi kempen Pavilion Malaysia iaitu #MyButterflyEffect.
Kempen #MyButterflyEffect mencerminkan bagaimana idea atau tindakan kecil dapat memberikan kesan yang lebih dari apa yang dijangkakan. Malaysia sebagai sebuah negara kecil, berhasrat untuk memberikan impak yang besar kepada dunia melalui usaha-usaha yang dilakukan. Malaysia mengekalkan penyertaan ke Ekspo 2020 Dubai yang akan diadakan pada tarikh baharu iaitu bermula 1 Oktober 2021 – 31 Mac 2022 dengan mengekalkan nama rasmi Ekspo 2020 Dubai.