9 April 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM). Turut serta adalah Ketua Pegawai Eksekutif ASM, YBrs. Puan Hazami Habib; Ketua Pegawai Strategi ASM, Puan Nitia Samuel; dan Pengarah Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), Encik Shahrizal bin Shahrudin.
Presiden ASM merangkap Penasihat STI kepada Perdana Menteri dan Negara dalam pertemuan berkenaan memberikan penerangan lanjut mengenai usaha pemerkasaan Majlis Sains Negara (MSN) dan menekankan kepentingan pelaksanaan inisiatif berasaskan misi (mission-oriented) yang menggunapakai STI sebagai pemboleh daya dan membawa penglibatan ‘quadruple helix’ serta koordinasi penyelesaian merentasi pelbagai bidang bagi menangani cabaran utama negara.
Pada Mesyuarat MSN November lalu, dipersetujui cadangan penambahbaikan struktur tatakelola MSN yang mana antaranya penubuhan Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Sains Negara (JKPSN) sebagai usaha bagi pemerkasaan MSN.