Skip to main content
News

Lapan (8) GLC Dipilih di Bawah Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) bagi Merancakkan Kerjasama Korporat-Startup dan Pertumbuhan Berteraskan Inovasi

04 Julai 2025, Putrajaya – Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), telah mengumumkan pemilihan lapan ( 8 ) Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah program Bengkel Inovasi GLC (BIG).

Pencapaian ini menandakan peralihan program BIG daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan yang mana ia telah dilancarkan pada Mac 2025 lalu. Geran padanan sehingga RM2 juta telah diperuntukkan bagi setiap GLC, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10.7 juta.
GLC yang terpilih ialah Bank Islam, CelcomDigi, DOTCO, Malaysia Aviation Group, Sime Darby Property, S P Setia, Tenaga Nasional Berhad dan Cenviro.
Pemilihan GLC ini adalah berdasarkan kepada penggunaan teknologi digital dan AI inovatif yang ditonjolkan – berpotensi tinggi untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pertumbuhan perniagaan dan penskalaan dalam industri masing-masing. Setiap GLC juga menunjukkan kerjasama yang kukuh dengan startup tempatan dan antarabangsa, mencerminkan semangat kerjasama yang diketengahkan dalam program BIG.
Penyertaan lapan ( 8 ) GLC ini jelas menunjukkan komitmen untuk menerima pakai dan melaksanakan teknologi termaju sebagai pemangkin inovasi korporat yang lebih meluas. Kerjasama mereka bersama startup dan pembangun usahaniaga tempatan turut menyumbang kepada pengukuhan ekosistem inovasi negara dan pembangunan startup.
Dalam tempoh enam (6) bulan akan datang, GLC terpilih akan bekerjasama dengan pasukan inovasi dalaman, startup dan pembangun usahaniaga melalui salah satu atau gabungan daripada dua laluan utama: Venture Client Track dan Venture Co- Creation Track. Setiap GLC akan membangunkan bukti konsep, yang akan dikemukakan dalam sesi Demo Day sebagai langkah ke arah pelaksanaan sebenar dan penciptaan usaha niaga baharu.
Startup yang berminat untuk bekerjasama dengan GLC boleh mendaftar melalui laman web BIG di https://big.myopeninnovation.com/
Skip to content