26 Jun 2024, Korea Selatan – YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah mengadakan lawatan kerja ke Korea Institute of Science and Technology Information (KISTI) pada 25 Jun 2024.
MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) telah berkongsi pembentangan mengenai Malaysia Open Science Platform (MOSP) dan hala tuju Open Science di peringkat antarabangsa khususnya di Asia Pacific Economic Cooperation (APEC).
Semasa lawatan tersebut juga, MOSTI berpeluang mendengar pembentangan dari KISTI mengenai peranan dan fungsi KISTI dalam ekosistem STI di Korea Selatan. MOSTI juga turut mendengar pembentangan oleh KISTI berkenaan pangkalan data dan trend penyelidikan terkini dalam AI.
Perbincangan turut berkisar mengenai potensi kolaborasi antara MOSTI dan KISTI bagi pembangunan modal insan dan latihan melalui MASTIC.
Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Encik Imran bin Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dana MOSTI, Encik Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah Malaysian Science and Technology Information Centre (MASTIC), YBrs. Puan Hazami binti Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Puan Ida Semurni binti Abdullah Ali, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).