27 November 2025, Ho Chi Minh – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menghadiri Autumn Economic Forum 2025 di Ho Chi Minh City dari 25–27 November 2025, platform serantau yang membincangkan transformasi inovasi ke arah ekonomi pintar dan lestari.
Pada 25 November, YB Menteri menyampaikan sesi Youth Inspirational Talks: AI Generation NOW bertajuk “AI for Regional Innovation and Connectivity”, menekankan pembangunan bakat dan tadbir urus AI beretika di bawah Pelan Hala Tuju AI Malaysia 2021–2025.
Pada 26 November, beliau menyampaikan ucaptama “Advancing Inclusive Digital Transformation” yang menggariskan pendekatan Malaysia dalam tadbir urus digital, AI beretika, pembangunan bakat serta inovasi inklusif, selain menegaskan kerjasama dasar digital serantau.
YB Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Vietnam, TYT Pham Minh Chinh, membincangkan kerjasama STI, keterjaminan makanan dan pensijilan halal termasuk cadangan pangkalan data bersama.
Dalam sesi makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Bùi Thanh Sơn, YB Menteri menyampaikan ucapan “Malaysia’s Path Toward a Hydrogen-Powered Economy”, berkongsi strategi Malaysia membangunkan ekonomi hidrogen.
Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen memperkukuh diplomasi STI bersama Vietnam serta peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.




