22 April 2026, Tambunan – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke Agri-Spark Hub (AgriSpark), Tambunan Sabah sebagai satu inisiatif Kerajaan di Sabah yang memberi tumpuan kepada usaha pemodenan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden.
AgriSpark berperanan sebagai platform penting dalam transformasi ekonomi luar bandar dengan mengintegrasikan teknologi dan amalan pertanian pintar bagi memperkukuh ekosistem pertanian negara.
Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Sabah Credit Corporation dan rakan industri AgriData, dengan matlamat untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara, memperkasa golongan peladang serta menarik minat belia untuk menceburi bidang pertanian berasaskan teknologi.
Lawatan ini juga turut memberi ruang kepada YB Timbalan Menteri untuk menilai potensi serta peranan yang boleh dimainkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam menyokong inisiatif berkenaan secara menyeluruh, khususnya menerusi agensi seperti Agensi Nuklear Malaysia, MRANTI, MIMOS Berhad, National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) serta Malaysia Bioeconomy Corporation.
Usaha bersepadu yang berasaskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) ini diyakini mampu melonjakkan potensi sektor pertanian Sabah, memperkukuh agenda keselamatan makanan negara serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.




