18 Mei 2025, Kedah – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi telah mengadakan Lawatan Turun Padang ke Observatori Negara Langkawi (ONL) di bawah Agensi Angkasa Negara (MYSA).
Satu sesi taklimat mengenai MYSA kepada YBhg. Datuk Seri KSU telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Gs. Hj. Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA. YBhg. Datuk Seri KSU turut diberikan taklimat mengenai kemajuan semasa projek Menaik Taraf ONL serta melawat fasiliti yang disediakan di ONL.
Fungsi utama ONL adalah menyediakan fasiliti pencerapan bertaraf antarabangsa bagi penyelidikan dalam bidang astronomi optikal di Malaysia. Fasiliti ini mempunyai infrastruktur berteknologi tinggi untuk penyelidikan dan pembangunan serta eksplorasi sains angkasa dalam bidang astronomi, merangkumi 3 jenis teleskop yang terdiri daripada 2 unit teleskop stellar (bintang) dan 1 unit teleskop solar (matahari).
Hadir sama Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI; Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah Langkawi; Encik Surya Kumar A/L Subramaniam, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T dan Bahagian Pembangunan MOSTI.