19 Mei 2025, Kedah – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi telah mengadakan Lawatan Turun Padang ke Program Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas di Langkawi. Program ini adalah di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan menggunakan pembiayaan di bawah dana Strategic Research Fund (SRF).
Satu sesi taklimat mengenai pelaksanaan projek ini telah disampaikan oleh YBrs Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pengarah Eksekutif YIM serta YBrs Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) selaku Agensi Penyelaras. Turut menyampaikan taklimat adalah Ketua Projek 3, YBhg Prof.Dr. Mohd Ikhwanuddin Abdullah dari Universiti Malaysia Terrngganu (UMT).
Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk pemulihan dan pemeliharaan gamat emas di Langkawi bagi kemampanan industri gamat dan biodiversiti. Program ini turut bertujuan memastikan penggunaan teknologi tempatan bagi konservasi dan memberi manfaat kepada sosio-ekonomi Langkawi.
Terdapat tiga (3) komponen projek dalam program ini iaitu:
– Projek 1 : Projek Pembiakan dan Rehabilitasi Gamat Emas (USM)
– Projek 2 : Projek Inovasi Sosial bagi Produk Berasaskan Gamat Emas (USM)
– Projek 3 : Projek Pemulihan Ekosistem untuk Gamat Emas (UMT)
Delegasi lawatan telah dibawa ke Pulau Singa Besar, Langkawi bagi menyaksikan pemantauan 𝘓𝘪𝘷𝘦 𝘔𝘰𝘯𝘪𝘵𝘰𝘳𝘪𝘯𝘨 bagi Rangka Restorasi dan Hidupan Laut serta pelepasan 20 ekor induk gamat dan 200 ekor juvenil gamat.
Turut mengiringi YBhg. Datuk Seri KSU MOSTI adalah Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI, Puan Nur Fairuz Sahirah dari LADA serta penyelidik- penyelidik dari UMT dan USM.