7 Oktober 2026, Serdang – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengadakan Lawatan Turun Padang ke National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek pembangunan serta memastikan setiap projek dilaksanakan secara berkesan, menepati objektif dan memberi impak optimum kepada pengukuhan keupayaan strategik NIBM.
Lawatan memberi tumpuan kepada dua projek utama, iaitu Projek MyGenom Fasa 2 serta Projek Perolehan Peralatan dan Menaik Taraf Fasiliti bagi Program Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara.
Projek MyGenom 2 diluluskan di bawah RMK13 dengan kos RM58.2 juta, menyasarkan 13,000 peserta dan 5,100 genom baharu, dengan sasaran keseluruhan 10,000 genom rakyat Malaysia. Inisiatif ini bertujuan membangunkan pangkalan data genomik rakyat Malaysia yang berkualiti dan mewakili pelbagai etnik, di samping memanfaatkan teknologi penjujukan long-read bagi menyokong perubatan jitu dan pembangunan rawatan yang lebih bersasar.
Sementara itu, Projek Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara bernilai RM86.07 juta melibatkan penaiktarafan fasiliti bertaraf Good Laboratory Practice (GLP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Animal Biosafety Level-III (ABSL-III) bagi menyokong ekosistem pembangunan vaksin manusia. Fasiliti berkeupayaan tinggi ini penting dalam melengkapkan ekosistem vaksin manusia negara, memperkukuh keupayaan pembangunan dan penghasilan vaksin serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman wabak dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato’ Ts. Dr. KSU turut menekankan kepentingan pemantauan projek secara berterusan, penyelesaian segera isu pelaksanaan serta pengurusan peruntukan yang cekap bagi memastikan setiap projek pembangunan MOSTI disiapkan mengikut perancangan dan memberi impak nyata kepada keupayaan penyampaian agensi.
Lawatan ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan setiap pelaburan pembangunan sains dan teknologi diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, di samping memperkukuh daya saing, kedaulatan teknologi dan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi keperluan kesihatan masa hadapan.
Turut hadir ialah YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM; YBrs. Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI serta pegawai-pegawai MOSTI dan NIBM.




