Skip to main content
News

Lima Universiti Tandatangan Perjanjian Kerjasama Projek Rintis Malaysia Open Science Platform

14 Julai 2022, Kuala Lumpur – Lima (5) universiti penyelidikan hari ini menandatangani Perjanjian Kerjasama Projek Rintis Malaysia Open Science Platform (MOSP) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi memperkukuh amalan perkongsian data mentah penyelidikan negara. Universiti-universiti berkenaan ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi ASM mula menerajui inisiatif MOSP pada penghujung 2019 bertujuan untuk memudahkan penyelidik Malaysia berkongsi data mentah penyelidikan mereka. MOSP adalah antara inisiatif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2021-2030 untuk menggalakkan perkongsian data terbuka bagi pembangunan teknologi melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dalam kalangan penyelidik, pemain industri dan masyarakat sivil.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba dalam ucapannya pada Majlis Menandatangi Perjanjian Kerjasama Projek Rintis Malaysia Open Science Platform berkata, “Inisiatif ini akan meningkatkan kerjasama tran-disiplin antara pakar dalam bidang tertentu serta organisasi. Ini bakal meningkatkan hasil penyelidikan, sekaligus menghasilkan sebuah penyelesaian yang baik untuk pelbagai isu terkini negara serta mengurangkan pengulangan atau pertindihan penyelidikan yang akan dijalankan pada masa hadapan.”

Tambah YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, negara-negara lain seperti Australia, Jepun dan Amerika Syarikat turut menggalakkan sains terbuka menerusi platform Australian Research Data Commons (ARDC), Research Centre for Open Science (RCOS) dan Transform to Open Science (TOPS).

MOSP dijangka dapat mula diakses oleh orang awam pada Disember 2022. Orang awam dapat mencapai maklumat mengenai projek penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan oleh lima universiti berkenaan di bawah projek rintis MOSP.

Melalui platform ini, orang ramai akan mempunyai akses kepada projek penyelidikan yang telah dijalankan terutamanya yang dibiayai menerusi dana awam. MOSP akan melengkapkan ekosistem data terbuka Malaysia yang diterajui Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menerusi inisiatif data terbuka kerajaan.

Mewakili ASM pada majlis menandatangani perjanjian ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Hazami Habib sementara wakil setiap universiti pula ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Kelestarian & Pembangunan Institusi) Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Md Roslan Hashim, Pro Naib Canselor (Kampus Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur), Profesor Ts. Dr. Abd. Latif Saleh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Nazamid Saari dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan & Instrumentasi (CRIM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ts. Dr. Muhammad Rahimi bin Yusop.

Harapan MOSTI, semoga dengan permulaan dan sokongan oleh lima universiti ini, lebih banyak institut pengajian tinggi dan insitut penyelidikan lain mengorak langkah ke arah menjadikan penyelidikan saintifik lebih terbuka.

Skip to content