Skip to main content
News

Majlis Apresiasi Minggu Sains Negara Dan Program Upskilling For Deeptech & Futureskills 2022

14 Mac 2023, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menganjurkan Majlis Apresiasi Minggu Sains Negara (MSN) dan Program Upskilling for Deeptech & Futureskills 2022 bagi menghargai komitmen dan sumbangan Kementerian, Jabatan, Agensi-agensi Kerajaan dan swasta, Institut Pengajian Tinggi, Rakan Strategik Industri, Badan Persatuan dan Badan Bukan Kerajaan dalam menjayakan kedua-dua inisiatif Kerajaan ini tahun lalu.
YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan penghargaannya menyatakan MSN 2022 merupakan salah satu inisiatif tahunan Kementerian dalam usaha menyemarakkan aktiviti inovasi dan kreativiti negara selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Sejak tahun 2018, program MSN telah menerima penyertaan yang menggalakkan daripada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dan pada tahun lalu, pelaksanaan MSN 2022telah mencatat 1,884,684 penyertaan, melepasi sasaran awal yang ditetapkan sebanyak 1.5 juta.
Menurutnya lagi, kejayaan MSN 2022 ini adalah hasil sinergi dan kerjasama erat di antara MOSTI bersama pelbagai pihak terutama jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah MOSTI, Institut Pengajian Tinggi dan pihak swasta yang telah bertungkus-lumus dari awal sehingga program ini melabuhkan tirainya pada Oktober 2022.
Pada majlis berkenaan, YB Chang Lih Kang juga turut memberikan penghargaan kepada pihak yang menjayakan Program Upskilling for Deeptech & Futureskills 2022 antaranya Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta rakan strategik industri swasta selaku penyedia penempatan latihan dan pekerjaan.
Program ini menyasarkan latihan dan penempatan kepada 5,000 peserta program untuk dilatih dalam bidang Deeptech & Futureskills yang bertujuan menyokong usaha-usaha ke arah peningkatan keupayaan inovasi negara terutamanya dalam pembangunan bakat yang adaptif dan berkompetensi tinggi. Pada tahun 2022, seramai 4,658 peserta atau 93% telah mendapat pekerjaan melalui program ini.
Pelaksanaan program Minggu Sains Negara dan Upskilling for Deeptech & Futureskills menggambarkan komitmen MOSTI dalam membudayakan dan memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Menerusi tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, MOSTI telah berjaya membawakan STI terus kepada para pelajar, guru-guru serta golongan belia dalam membangun Malaysia Madani.
336157186 159370536980151 1175367907984139313 n   335957640 767606748113970 3539835556989283794 n
336383379 735199041314818 2877905866135900459 n    336277421 152211014402041 7183941362250337526 n
Skip to content