10 Ogos 2026, Melaka – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir menyempurnakan Majlis Peluncuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Selatan di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Dalam majlis perasmian tersebut, YB Datuk Chang Lih Kang menegaskan komitmen MOSTI untuk bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi bagi memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM. Usaha ini menunjukkan kejayaan memberangsangkan menerusi lonjakan penyertaan program Rehlah Sains melebihi 81 peratus, iaitu daripada 8,084 peserta di sembilan lokasi pada tahun 2024 kepada 14,671 peserta di 15 lokasi pada tahun 2025. Bagi tahun 2026, MOSTI menyasarkan kehadiran seramai 15,000 peserta bagi program Rehlah Sains di seluruh negara.
Karnival MSN ini turut mengetengahkan Program Advokasi Nuklear bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat” bagi meningkatkan kefahaman masyarakat berasaskan fakta saintifik. Pameran interaktif dan aktiviti STEM yang disediakan memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami aplikasi teknologi nuklear dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pertanian, industri, dan alam sekitar, sekali gus membina persepsi yang lebih tepat.
Inisiatif advokasi ini disokong oleh Agensi Nuklear Malaysia yang telah melaksana 19 Program Nuclear Education Outreach (NEO) melibatkan lebih 15,000 peserta sehingga Jun 2026, di samping memperluaskan program Jelajah Nuklear dan Kem Rakan Nuklear kepada masyarakat. Menerusi penganjuran edisi kesembilan MSN ini, MOSTI bertekad untuk melahirkan generasi yang berdaya cipta, celik teknologi, dan berintegriti demi memacu Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.
Turut hadir YB Datuk Fairul Nizam Bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi Dan Komunikasi Digital Negeri Melaka; YBrs Profesor Dr. Mohd Rizal Bin Salleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); YBrs. Encik Abdullah Bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI; YBrs. Encik Mohd Zamri Shah Bin Mastor, Pengarah Planetarium Negara MOSTI dan YBrs. Dr. Norzilawati Binti Md Kamsor, Pengarah Pusat Sains Negara MOSTI.




