Skip to main content
News

Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC)

7 Januari 2025, Putrajaya – Dalam usaha memajukan bakat dalam bidang teknologi dan teknikal, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysia Board of Technologists (MBOT) telah menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC). TPDC ini bertujuan untuk memastikan jaminan kualiti dan standard pensijilan kursus jangka pendek dalam bidang teknologi dan teknikal, bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Buat masa ini, tiada badan khusus yang memastikan jaminan kualiti kursus jangka pendek yang ditawarkan. MBOT melalui mandat daripada Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768), telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan TPDC bagi menilai aspek-aspek seperti kualiti pengajar, kandungan dan pendekatan kursus serta aspek penilaian. MBOT turut menitik beratkan aspek teknologi dan teknikal dengan hanya memberi pengiktirafan kepada kursus yang mempunyai sekurang-sekurangnya 70% elemen-elemen ini.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata ‘pelancaran TPDC adalah bukti komitmen Malaysia untuk memacu bidang sains, teknologi, dan inovasi selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi’.
Statistik terkini menunjukkan bahawa lebih 30% pekerjaan di Malaysia akan dipengaruhi oleh AI dalam 10 tahun akan datang. Negara dijangka memerlukan lebih 500,000 pekerja mahir tambahan menjelang 2030, sementara lebih 600,000 pekerja perlu menjalani pemahiran semula dalam tempoh 3 hingga 5 tahun untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara MBOT dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) yang memainkan peranan penting bagi memastikan tenaga kerja dalam bidang teknologi dan teknikal memperoleh peningkatan kemahiran yang berkualiti dan diiktiraf.
Skip to content