Skip to main content
News

Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) 2026

18 November 2026, Kuala Lumpur – YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Turut hadir, YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI.
Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan tujuh Inisiatif Berorientasikan Misi (MOI) Kebangsaan perlu menghasilkan penyelesaian yang berkesan terhadap cabaran utama negara serta membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat, selaras dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Tujuh MOI Kebangsaan tersebut merangkumi keterjaminan makanan, industri sawit, pemerkasaan masyarakat menua, semikonduktor termaju, penjagaan kesihatan digital, teknologi kuantum dan keterjaminan tenaga. Beliau turut menyambut baik Pelan Strategik ASM 2026–2030 yang menggembleng kepakaran penyelidik, kementerian dan industri bagi menangani cabaran strategik negara.
Sementara itu, YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menekankan kepentingan pelaksanaan pelan strategik tersebut dengan memberi tumpuan kepada peningkatan mutu nasihat dasar, penerimagunaan hasil penyelidikan serta pembangunan bakat bagi memperkukuh daya saing negara. Beliau turut menggariskan keperluan membangunkan teknologi berasaskan keperluan pengguna, membimbing penyelidik muda serta memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dengan pihak industri.
YBhg. Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) pula menyatakan bahawa model jaringan ASM berperanan menyatukan kekuatan dan kepakaran pelbagai rakan kerjasama bagi mencetuskan idea yang lebih kreatif dan menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi.
Majlis turut menyaksikan pelantikan 30 Felo baharu serta penganugerahan gelaran Felo Kanan ASM 2026 kepada Academician Profesor Emeritus Datuk Dr. Awg Bulgiba Awg Mahmud dan Academician Dr. Helen Nair.
Dengan pelantikan tersebut, jumlah keseluruhan Felo ASM kini mencecah 554 orang, termasuk 32 Felo Kanan, sekali gus memperkukuh himpunan kepakaran saintifik negara dalam menyokong pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) Malaysia.
Skip to content