22 September 2026, Port Dickson – Majlis Perasmian 10th International Symposium on Advanced Materials and Nanotechnology (iSAMN2026) telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI di Thistle Port Dickson Resort, Negeri Sembilan.
Persidangan ini menghimpunkan para penyelidik, penceramah jemputan, serta rakan industri tempatan dan antarabangsa bagi memacu pembangunan bidang bahan termaju serta nanoteknologi negara.
Penganjuran edisi ke-10 ini merupakan kerjasama strategik antara Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama NNC, MOSTI. Berlangsung dari 22 hingga 23 September 2026, simposium bertemakan “A Decade of Advancing Materials and Nanotechnology: Towards Smarter Functional Devices” ini menyokong pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021–2030), Dasar dan Strategi Nanoteknologi Kebangsaan 2021–2030 (DSNN 2021–2030) serta Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara (NAMTR 2021-2030) dalam memacu pembangunan industri bernilai tinggi.
Lebih daripada sekadar perhimpunan akademik, iSAMN2026 menjadi platform strategik dalam merapatkan jurang antara penyelidikan makmal dan aplikasi komersial Valley of Death. Kejayaan syarikat spin-off tempatan di bawah UPM seperti Qarbotech, Serdang Paste Tech, dan GO Advanced Solutions serta pemindahan teknologi bersama Biogenes membuktikan potensi besar inovasi tempatan di peringkat global.
Jalinan kerjasama antara akademia, industri dan agensi kerajaan ini akan terus diperkukuh bagi mempercepat pemindahan teknologi, memperluas peluang pengkomersialan hasil penyelidikan serta membangunkan bakat tempatan dalam bidang bahan termaju dan nanoteknologi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.




