Skip to main content
News

Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara Zon Timur 2026

19 Julai 2026, Kuala Terengganu – YB Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Timur yang berlangsung di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT). Turut hadir mengiringi ialah YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Penganjuran Karnival MSN 2026 Zon Timur merupakan sebahagian daripada siri jelajah di lima lokasi strategik di seluruh negara yang berlangsung dari Jun hingga Oktober 2026. Melalui kerjasama erat bersama industri tempatan dan institusi pengajian tinggi, program ini bertujuan membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) secara inklusif selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang berkualiti. Menurutnya, kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal, malah turut bergantung kepada keupayaan rakyat menguasai ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri terus komited menyokong usaha memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai kerjasama strategik bersama MOSTI, institusi pendidikan, industri serta Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan penyertaan pelajar dalam aliran STEM sekali gus memenuhi keperluan tenaga mahir negara pada masa hadapan.
Karnival MSN 2026 turut menampilkan elemen baharu melalui advokasi teknologi nuklear bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan dan manfaat teknologi tersebut dalam pelbagai sektor kehidupan.
Selain itu, MOSTI turut melancarkan Platform Sains Rakyat menerusi portal sainsrakyat.my, yang membolehkan orang awam menyumbang kepada pengumpulan dan analisis data saintifik negara. Inisiatif ini dijangka memperkukuh pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat serta menyokong agenda kesejahteraan rakyat berteraskan Malaysia MADANI.
Skip to content