Skip to main content
News

Majlis Perhimpunan Bulanan MOSTI Sempena Bulan Kebangsaan

17 Ogos 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini hadir menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan MOSTI bagi bulan Ogos yang berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Atrium Peterana, Blok C5.

Dalam perhimpunan tersebut, YB Menteri menekankan pelaksanaan Program Advokasi Nuklear dengan tema “Nuklear Untuk Rakyat”, sebagai usaha meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai aplikasi teknologi nuklear secara aman dan selamat khususnya dalam sektor kesihatan, pertanian dan tenaga.
Selaras dengan usaha memperluas pemahaman mengenai teknologi nuklear, pameran dan aktiviti Advokasi Nuklear turut diadakan di ruang legar Blok C5 bagi memberi peluang kepada warga MOSTI mendapatkan maklumat serta menerokai dengan lebih dekat manfaat dan aplikasi teknologi nuklear untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, YB Menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap pelbagai kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk kejayaan dua murid dari pedalaman Sabah mewakili negara ke Pertandingan Dron PilotX di Hong Kong, pencapaian National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) diiktiraf sebagai WSIS Champion oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kejayaan Bioeconomy Corporation memudah cara tiga kerjasama bioteknologi bernilai RM7 juta menerusi BIO Asia–Taiwan 2026.
Selain itu, MOSTI bakal menganjurkan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 pada 26 hingga 28 Ogos 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan menghubungkan hasil penyelidikan dengan pasaran.
Majlis turut diteruskan dengan sesi penghargaan bagi meraikan warga kementerian yang bertukar keluar serta kenaikan pangkat bagi bulan Ogos. Suasana bertambah meriah dengan sambutan ulang tahun kelahiran warga MOSTI, kuiz kemerdekaan dan pertandingan busana terbaik yang bertemakan Bulan Kebangsaan.
Skip to content