9 April 2026 , Putrajaya – YBhg Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha ( Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, serta warga MOSTI turut hadir Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan secara dalam talian di Atrium Peterana pagi ini.
Dalam perjumpaan ini, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri menyeru kepada penjawat awam untuk memperkasakan sistem penyampaian kerajaan dengan memberikan input dan pandangan balas terhadap keputusan peringkat tertinggi demi penambahbaikan berterusan.
Sebagai jentera yang mencerminkan imej negara, setiap pegawai bertanggungjawab memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan sahih. Selain itu, pengukuhan kerja berpasukan menjadi teras utama dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan negara.
Seiring dengan amanat yang disampaikan, MOSTI menzahirkan komitmen untuk memperkukuh kolaborasi antara agensi bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan bukan sahaja sampai kepada kumpulan sasar, malah memberi impak nyata dalam memacu kemajuan serta kesejahteraan ekonomi negara.




