Skip to main content
News

Malaysia, Australia Perkukuh Peranan Wanita dalam Kerjasama Bioteknologi

7 April 2026, Putrajaya – Malaysia dan Australia kini memperkukuh kerjasama strategik bagi memartabatkan peranan wanita dalam sektor bioteknologi melalui penganjuran sulung Majlis Makan Tengah Hari Wanita dalam Bioteknologi Malaysia-Australia hari ini.
Inisiatif ini yang dianjurkan oleh Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) dari Australia bersama Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) bertujuan membina ekosistem inovasi nasional yang lebih inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Puan Aidawati binti Misdar, Setiausaha Bahagian MOSTI menyatakan bahawa wanita merupakan nadi komuniti saintifik negara dengan mewakili hampir 50% penyelidik, jauh mengatasi purata Asia-Pasifik. Beliau menekankan bahawa fokus kini tertumpu kepada memperkasakan kepimpinan dan keusahawanan wanita melalui program peningkatan kemahiran serta pementoran bagi merealisasikan potensi penuh mereka.
Dalam sebuah kenyataan media, Pesuruhjaya Tinggi Australia, Ms Danielle Heinecke, mengumumkan pelaburan bernilai AUD8.7 juta melalui platform Partnerships for a Healthy Region. Dana ini bertujuan menyokong pembangunan keupayaan pembuatan vaksin di Malaysia serta memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan penting melalui kolaborasi bersama institusi seperti CSIRO.
Keberkesanan usaha ini terbukti melalui program Bio-based Accelerator (BBA) oleh Bioeconomy Corporation yang kini telah membantu 47 buah syarikat pimpinan wanita untuk berkembang dalam ekosistem bio-inovasi. Program ini menjadi platform penting dalam menyokong pengkomersialan penyelidikan dan pertumbuhan perusahaan bioteknologi.
Majlis yang bertemakan “Inspire, Influence, Involve” ini dihadiri oleh hampir 200 wakil kerajaan dan industri. Acara diakhiri dengan komitmen padu kedua-dua negara untuk memastikan inovasi diterajui wanita Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa demi pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Skip to content