Skip to main content
News

Malaysia Pacu Kepimpinan Serantau dalam Keselamatan Sinaran – RPCW 2025 Kukuh Agenda Teknologi Nuklear Selamat

18 Ogos 2025, Sabah – Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran di peringkat serantau menerusi Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025) yang dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Edisi ke-28 persidangan ini membawa tema “𝘎𝘭𝘰𝘣𝘢𝘭 𝘌𝘯𝘦𝘳𝘨𝘺 𝘚𝘦𝘤𝘶𝘳𝘪𝘵𝘺 𝘛𝘩𝘳𝘰𝘶𝘨𝘩 𝘙𝘢𝘥𝘪𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘚𝘢𝘧𝘦𝘵𝘺: 𝘉𝘢𝘭𝘢𝘯𝘤𝘪𝘯𝘨 𝘎𝘳𝘰𝘸𝘵𝘩 𝘢𝘯𝘥 𝘗𝘳𝘰𝘵𝘦𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯”, yang menekankan bahawa keselamatan sinaran merupakan asas utama bagi menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global. Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa keselamatan sinaran bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan atau keselamatan. “𝘙𝘢𝘥𝘪𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘴𝘢𝘧𝘦𝘵𝘺 𝘪𝘴 𝘯𝘰𝘵 𝘰𝘱𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭, 𝘪𝘵 𝘪𝘴 𝘦𝘴𝘴𝘦𝘯𝘵𝘪𝘢𝘭,” tegas beliau.
Tema RPCW 2025 ini turut selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi termasuk sektor tenaga dan air. Seiring dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat untuk memenuhi keperluan masa depan, aspek keselamatan sinaran kekal menjadi keutamaan. Malaysia komited mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan keselamatan demi masa depan negara serta kesejahteraan generasi akan datang.
Persidangan ini berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan profesional teknikal. Sepanjang penganjuran, ia menampilkan 19 pembentangan kertas kerja teknikal, sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan keselamatan sinaran.
Kejayaan penganjuran ini adalah hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dengan sokongan Jabatan Tenaga Atom. Menurut Laporan Atom Malaysia 2023, negara merekodkan lebih 31,000 pekerja sinaran dan hampir 2,000 lesen aktif tanpa sebarang insiden radiologi dan pencapaian ini mencerminkan tahap kecekapan kawal selia dan profesionalisme industri di Malaysia.
Skip to content