Skip to main content
News

Malaysia Perkenal Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara untuk Perkukuh Daya Tahan Iklim dan Kesihatan

20 November 2025 – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah memperkenalkan Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara (PTKBN), sebuah pelan komprehensif yang mengarusperdanakan prinsip kesihatan planet dalam pembangunan nasional.

YB Menteri berkata pelan ini mencerminkan komitmen negara dalam menangani impak perubahan iklim dan degradasi alam sekitar yang menyebabkan kerugian purata RM39.8 bilion setahun akibat banjir, tanah runtuh dan penyakit bawaan vektor. Malaysia turut merekodkan kemajuan ketara termasuk pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 37.1% pada 2021 berbanding 2005 serta peningkatan kadar kitar semula isi rumah kepada 37.9% pada 2024.
Beliau menegaskan bahawa pelan ini mengubah paradigma pembangunan negara daripada hanya menilai ROI kepada Pulangan Berasaskan Nilai yang memberi keutamaan kepada masyarakat lebih sihat, ekosistem lebih hijau dan daya tahan jangka panjang. Malaysia juga diiktiraf Planetary Health Alliance di Rotterdam sebagai antara negara terawal mengarusperdanakan Kesihatan Planet dalam pembangunan nasional, dengan memberi tumpuan kepada lima sektor masa hadapan — hidrogen, kecerdasan buatan, bioteknologi, teknologi angkasa dan satelit serta ekosistem pemula niaga bagi memacu inovasi hijau.
PTKBN yang dimandatkan di bawah Majlis Sains Negara dan diterajui MOSTI melalui ASM dibangunkan melalui proses libat urus 10 langkah melibatkan saintis, pembuat dasar, belia, industri dan masyarakat sivil. Pelan ini merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama dengan 53 strategi dan 222 pelan tindakan bagi memperkukuh kesihatan ekosistem, daya tahan komuniti dan pertumbuhan ekonomi mampan. Menjelang aspirasi negara maju 2040, MOSTI komited memperkasa penyelidikan, inovasi, adaptasi perubahan iklim dan pemuliharaan biodiversiti di bawah RMK-13.
Turut hadir Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara; YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; serta wakil kementerian, agensi teknikal, pakar akademik dan rakan industri yang terlibat dalam pembangunan PTKBN.
Skip to content