15 April 2026, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini secara rasmi memulakan langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global menerusi pra-pelancaran Program SemiconStart Malaysia. Inisiatif ini bertujuan membangunkan saluran syarikat pemula semikonduktor yang berdaya maju bagi memastikan negara kekal kompetitif dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan bahawa semikonduktor kini bukan sekadar kepentingan industri malah merupakan komponen utama dalam daya tahan dan kedaulatan teknologi nasional. Beliau menyatakan bahawa Malaysia perlu beralih daripada sekadar pemain dalam pemasangan dan pengujian kepada segmen nilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC design) dan pembangunan harta intelek (IP).
Menerusi kerjasama antara Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Silicon Catalyst UK, SemiconStart Malaysia akan menyediakan akses kepada alat reka bentuk, kepakaran industri dan rangkaian global bagi mempercepatkan proses pengkomersialan syarikat tempatan. Kerjasama ini dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan luar dan memastikan kawalan ke atas teknologi kritikal yang menggerakkan infrastruktur negara, kesihatan dan pertahanan.
Sehingga kini, Malaysia memegang 13% bahagian pasaran global bagi pengujian dan pembungkusan semikonduktor dan merupakan pengeksport keenam terbesar di dunia. Dengan sokongan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan peruntukan di bawah Belanjawan 2026, kerajaan komited untuk memastikan lebih banyak nilai ekonomi dicipta dari dalam ekosistem domestik bagi menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.
Turut hadir YBhg Tan Sri Abd. Rahman bin Mamat, Pengerusi Malaysian Technology Development Corporation (MTDC); YBrs Ts. Hj. Mohammad Hazani bin Hj. Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC; YBrs. Encik Amirul Fares Wan Zahir, Pengarah MTDC; YBrs. Cik Christina Foo, Pengarah MTDC, YBrs. Dr. Carla Ghidini, Pengarah Program SemiconStart Malaysia dan wakil Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), agensi dan persatuan kerajaan lain serta universiti dan rakan kongsi industri.




