Skip to main content
News

MALAYSIA TECHLYMPICS 2022 PERINGKAT ZON: KINI SINGGAH DI SABAH

24 September 2022, Sabah – Malaysia Techlympics 2022, sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini dipertandingkan di peringkat zon bagi mencari peserta atau Techlympians yang bakal mara ke peringkat seterusnya bagi merebut hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000.00.

Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim hari ini merasmikan Majlis Penutupan Malaysia Techlympics Zon Malaysia Timur, Sabah mewakili YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Institut Pelatihan Guru Kent, Tuaran, Sabah.

Menurut beliau, melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh para Techlympians, MOSTI yakin bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi yang celik sains teknologi dan inovasi (STI) dan para inovator muda yang berkebolehan untuk menghasilkan solusi, aplikasi dan produk berteknologi untuk masyarakat dan kelestarian negara.

Sehingga kini, seramai 1,028,983 Keluarga Malaysia yang berusia antara tujuh (7) hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesi perkongsian STI yang diadakan sejak April hingga November 2022.

Malaysia Techlympics 2022 dilaksanakan oleh agensi di bawah MOSTI, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Pengajian Tinggi. Inisiatif ini mensasarkan satu (1) juta penyertaan daripada para pelajar dan 2,000 idea STI yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Bertemakan ‘Berhubung, Bersaing, Berjaya’, Malaysia Techlympics telah dirangka supaya bersifat inklusif agar lebih ramai golongan sasar mendapat peluang untuk turut terlibat menghasilkan produk inovasi menggunakan pendekatan tidak formal sekali gus merancakkan aktiviti STI negara melalui experiential learning.

MOSTI telah menyusun sebanyak 25 pertandingan di bawah lima (5) kategori utama yang tertumpu kepada bidang-bidang yang membabitkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikro-komputer, nano, Internet benda (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan 3D.

Techlympians yang berjaya di peringkat zon akan mara untuk bersaing di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 hingga 13 November akan datang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics 2022, layari laman web rasmi www.techlympics.my.

 

       

        FRS 6788

IMG 0423        IMG 0477

Skip to content