5 September 2024 , Sabah – YB Dato’ Haji. Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sabah bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sabah merupakan pelaksanaan zon kedua selepas Zon Pantai Timur pada 7 dan 8 Ogos 2024 yang lalu. Penganjuran tahun ini menyaksikan seramai hampir 800 orang peserta dari negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bersaing bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan November 2024 di Putrajaya.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal menyatakan penganjuran Malaysia Techlympics diteruskan pada tahun ini sebagai satu inisiatif konsisten Kementerian untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya di kalangan murid, pelajar serta belia.
MOSTI amat komited dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk memupuk minat para pelajar dan belia terhadap STI menerusi program Malaysia Techlympics, membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat khususnya kanak-kanak
dan pelajar di peringkat bangku sekolah dalam memperkasakan agenda STEM Negara.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 telah dilaksanakan bermula bulan Julai hingga November tahun ini di seluruh negara secara fizikal dan dalam talian bagi meningkatkan penyertaan dan capaian masyarakat setempat. Malaysia Techlympics seterusnya akan dilaksanakan di Peringkat Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics, layari laman web rasmi www.mytechlympics.com.