Skip to main content
News

Malaysia Technology Expo (MTE) 2026: Sambutan Jubli Perak MTE 25 Tahun

10 April 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Malaysia Technology Expo (MTE) 2026 sempena sambutan Jubli Perak MTE yang menandakan 25 tahun penganjurannya di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Malaysia kini mempergiat usaha untuk beralih daripada sebuah negara pengguna teknologi kepada pencipta dan pengeksport teknologi melalui pengukuhan ekosistem pengkomersialan negara. Usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan inovasi yang dihasilkan mampu diterjemahkan kepada impak ekonomi yang nyata serta memberi manfaat kepada rakyat.
MTE mencerminkan aspirasi besar Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Malaysia komited untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 dengan meningkatkan intensiti penyelidikan dan pembangunan negara kepada sekurang-kurangnya 2.5 peratus daripada KDNK, di samping memperkukuh inovasi yang dipacu industri serta mempercepat penerimagunaan teknologi.
Seiring aspirasi Malaysia MADANI, MOSTI turut memperkukuh ekosistem inovasi negara dengan menyokong lebih 80 teknologi bernilai melebihi RM150 juta serta merangkaikan lebih 10,000 syarikat pemula niaga melalui kerjasama serantau. Inisiatif ini bertujuan memastikan inovasi bukan sekadar tercipta, tetapi mampu memberi impak kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Edisi MTE 2026 kali ini turut membuktikan keyakinan global terhadap ekosistem inovasi Malaysia dengan penyertaan peserta daripada lebih 10 buah negara termasuk Poland, Arab Saudi dan China. Selain pameran teknologi, majlis ini turut memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan sektor awam dan bakat muda melalui penganjuran Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Asia (PSIA) serta Anugerah Inovasi Belia Asia (AYIA).
Skip to content