31 Julai 2025, Selangor – Malaysia menjadi tuan rumah bagi penganjuran 2ⁿᵈ International Nuclear Science Olympiad (INSO) 2025, pertandingan pendidikan antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Penganjuran pertama telah diadakan di Filipina pada tahun 2024 dan diteruskan pada tahun ini di PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 30 Julai hingga 6 Ogos 2025.
INSO 2025 menghimpunkan pelajar cemerlang di bawah usia 20 tahun dari 14 buah negara bagi menguji pengetahuan dan kemahiran mereka melalui ujian teori, eksperimen praktikal, lawatan saintifik dan pertukaran budaya.
Dengan tema “Fueling Ambition, Celebrating Excellence”, penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasa bakat global serta memperkukuh kesedaran mengenai penggunaan aman teknologi nuklear dalam menangani cabaran dunia seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga dan keselamatan makanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang menekankan kepentingan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor perubatan, pertanian, alam sekitar dan industri.
Sebagai agensi teknikal, Nuklear Malaysia turut memainkan peranan aktif sebagai ahli Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Saintifik INSO 2025 di samping menyertai pameran yang memaparkan aplikasi teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab kepada generasi muda.
INSO bukan sekadar pertandingan malah merupakan platform kolaborasi antarabangsa yang penting dalam memupuk minat, jaringan saintifik dan bakat masa depan dalam bidang sains nuklear.