31 Oktober 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah merasmikan Seminar Polisi Angkasa 2025 bertemakan “Era Baharu Eksplorasi Angkasa: Inovasi Angkasa Untuk Tujuan Aman”.
Turut memeriahkan seminar ialah YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI dan YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Seminar turut menampilkan tiga pakar perundangan angkasa: Profesor Emeritus Steven Freeland (Western Sydney University, Australia), Puan Donna Lawler (Azimuth Advisor) dan Dr. Che Zuhaida binti Saari (USIM).
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kolaborasi strategik serantau dalam menghadapi cabaran global era baharu penerokaan angkasa serta menegaskan keperluan inovasi angkasa yang aman, bertanggungjawab dan beretika bagi memperkukuh keselamatan serta kedaulatan negara, di samping menjadikannya pemacu pertumbuhan ekonomi strategik.
Seminar ini menghimpunkan lebih 60 peserta terdiri daripada wakil agensi angkasa ASEAN, kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri serta ahli akademik. Penganjuran ini mencerminkan komitmen MOSTI terhadap inisiatif ASEAN Space Economy, iaitu program moonshot bagi membangunkan sektor angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara yang memberi limpahan kepada sektor pendidikan, pertanian, komunikasi, pengangkutan dan perkhidmatan berkaitan.
Pada masa yang sama, YBhg. Datuk Seri Ketua Setiausaha turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan 6th Kibo Robot Programming Challenge (Kibo-RPC) 2025 serta menyempurnakan penutupan Minggu Angkasa Sedunia 2025 – Malaysia Chapter.
Selaras dengan pengukuhan tadbir urus sektor angkasa, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 memperkukuh kawal selia aktiviti angkasa negara serta membuka ruang penyertaan Malaysia dalam triti antarabangsa.
Seminar ini tepat pada masanya dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan Kepakaran Perundangan serta Polisi Angkasa Serantau, selaras dengan aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).




