25 April 2025, Putrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) Bil.1/2025 yang dipengerusikan secara bersama oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara telah diadakan pada 25 April 2025 bertempat di Bilik Gerakan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan; YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan wakil-wakil dari kementerian dan agensi kerajaaan yang lain.
Inisiatif NTIS di bawah penyelarasan MOSTI ini merupakan satu platform yang membolehkan syarikat pemula (startups), penyelidik dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, teknologi atau perkhidmatan dalam persekitaran yang sebenar (live environment) dan dalam keadaan yang selamat dengan memberi kelonggaran daripada undang-undang dan peraturan sedia ada, secara umum atau khusus (pendekatan sandbox), untuk tujuan pembangunan teknologi dan seterusnya ke arah pengkomersialan.
Selain itu, inisiatif NTIS yang kini telah memasuki tahun kelima pelaksanaannya ini juga merupakan salah satu program flagship MOSTI di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dan telah berjaya membantu pihak-pihak berkepentingan terutamanya bagi usahawan teknologi, syarikat pemula serta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan dalam memudahcara proses pengawalseliaan, pengujian dan pengkomersialan terutamanya teknologi-teknologi baharu muncul (emerging tech).
Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, NTIS telah menerima lebih daripada 904 permohonan lengkap dan sehingga April 2025, sebanyak RM121.8 juta dana NTIS telah diluluskan kepada 127 syarikat bagi tujuan pengujian teknologi selanjutnya. 74 daripada produk/teknologi tersebut juga telah berjaya dikomersialkan dengan nilai pengkomersialan sebanyak RM149.8 juta. Sehingga kini, 15 tapak ujian sandbox nasional juga telah berjaya diwujudkan dalam menyediakan tapak pengujian teknologi bagi bidang-bidang berkaitan hasil kerjasama antara Sekretariat NTIS dan rakan-rakan strategik seperti FELDA, Iskandar Investment Berhad, Capital A, Multimedia University (MMU), PLUS Berhad (PLUS), Institut Sukan Negara (ISN) dan terbaharu sandbox Keterjaminan Makanan bersama pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA).