20 November 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bersama YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Vaksin Kebangsaan (NASCOV) 2026 dI Bilik Gerakan Blok C5 hari ini.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN), merangkumi pengukuhan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), infrastruktur, kawal selia, pembangunan fasiliti dan modal insan, serta jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Selain itu, platform tersebut turut meneliti cabaran pelaksanaan serta merangka hala tuju seterusnya dalam usaha memantapkan ekosistem vaksin negara dan menjamin bekalan tempatan.
Sinergi berterusan antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), institusi penyelidikan dan pihak industri kekal menjadi tunjang utama bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penghasilan vaksin tempatan yang mampan, selaras dengan aspirasi PPVN menjelang tahun 2030.
Turut hadir, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Dr. Mohd Azlan bin Zaharudin, Pengarah Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO), MOSTI serta wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.




