Skip to main content
News

Mesyuarat Lembaga Angkasa Malaysia Bil. 1/2026

15 jun 2026 – Lembaga Angkasa Malaysia (MSB) telah bersidang pertama kali pada tahun ini secara dalam talian dengan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu Ketua Setiausaha Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Pengerusi MSB.
Mesyuarat strategik ini telah dihadiri anggota lembaga yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Majlis Keselamatan Negara, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Penasihat Undang-Undang MOSTI serta wakil daripada Kementerian Luar Negeri.
Dalam persidangan tersebut, beberapa ketetapan dan inisiatif penting telah dipersetujui demi memantapkan ekosistem perundangan, keselamatan, dan kedaulatan ruang angkasa negara meliputi Cadangan Penyertaan Triti Angkasa Antarabangsa. MSB telah mempertimbangkan Laporan Syor Jawatankuasa Kerja Triti Angkasa bagi membolehkan Malaysia menyertai dua (2) Triti Angkasa di bawah United Nations Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS).
Triti tersebut ialah “Agreement on the Rescue of Astronauts, the Return of Astronauts and the Return of Objects Launched into Outer Space” (ARRA 1968) dan Convention on International Liability for Damage Caused by Space Objects” (LIAB 1972). Langkah ini penting bagi mempamerkan ketelusan negara, melindungi kepentingan nasional, serta menjadi instrumen pengurusan risiko berkaitan aktiviti angkasa. Justeru itu, MSB telah sebulat suara bersetuju agar cadangan penyertaan ini dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri.
Mesyuarat juga telah membincangkan mengenai Laporan Siasatan berhubung penemuan objek yang disyaki objek angkasa, dijumpai di Nenasi, Pahang pada 30 Disember 2025. Pertimbangan sewajarnya telah diberikan dari aspek liabiliti, keselamatan teknikal dan hubungan antarabangsa bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terjamin.
MSB juga telah meluluskan cadangan penubuhan Pasukan Gerakan (Task Force) Insiden Angkasa yang akan dianggotai agensi (first responder) negara. Pasukan ini akan mengguna pakai dokumen panduan Proses Kerja Siasatan Penemuan Objek yang Disyaki Objek Angkasa bagi membolehkan tindakan awal yang pantas dan efisien diambil sekiranya berlaku sebarang penemuan objek disyaki objek angkasa atau kemalangan angkasa, selaras dengan Akta 834.
Melalui keputusan dan inisiatif strategik ini, MOSTI komited untuk memastikan penjejakan, pemantuan, dan pengawalseliaan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara sistematik dan efisien. Langkah ini juga memberi isyarat diplomatik yang jelas bahawa Malaysia sentiasa bertanggungjawab terhadap aktiviti angkasanya, sekaligus memacu kemajuan sektor angkasa domestik selaras dengan visi Dasar Angkasa Negara 2030.
Skip to content