Skip to main content
News

Mesyuarat Majlis Inovasi Negara

By 2012-02-28#!31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800p2931#31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800p-6Asia/Kuala_Lumpur3131Asia/Kuala_Lumpurx31 11am31am-31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800p6Asia/Kuala_Lumpur3131Asia/Kuala_Lumpurx312017Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800316313amSaturday=321#!31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800pAsia/Kuala_Lumpur3#March 11th, 2017#!31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800p2931#/31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800p-6Asia/Kuala_Lumpur3131Asia/Kuala_Lumpurx31#!31Sat, 11 Mar 2017 06:31:29 +0800pAsia/Kuala_Lumpur3#No Comments

 

PUTRAJAYA (28 Februari 2012) – YAB Perdana Menteri hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Inovasi Negara (NIC) untuk tahun 2012 di Dewan Persidangan, Jabatan Perdana Menteri. Mesyuarat ini dihadiri oleh 21 ahli Majlis, termasuk YAB Timbalan Perdana Menteri, 5 orang Menteri Kabinet, Wakil Agensi Pusat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah serta wakil industri dan akademik.

Dalam perutusan beliau, YAB Perdana Menteri menyentuh mengenai kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan ekosistem inovasi negara. Ini termasuklah penubuhan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan (MSPK) yang  menentukan hala tuju dan bidang tumpuan utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara serta kemajuan pelaksanaan pembangunan ekosistem inovasi dan penjanaan kekayaan oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM).   

YAB Perdana Menteri menarik perhatian Mesyuarat terhadap keresahan mengenai kekurangan minat pelajar terhadap bidang sains dan matematik serta tahap inovasi yang masih rendah, terutamanya di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang perlu diatasi secara berkesan. Beliau mengingatkan bahawa sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan faktor penentu kejayaan sesebuah negara. Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri berpandangan bahawa pengisytiharan dan penganjuran Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Malaysia 2012 (SGI 2012) yang bertemakan Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi akan menyumbang ke arah membudayakan sains dan menyemarakkan inovasi di segenap lapisan masyarakat. Di samping itu, beliau yakin inisiatif-inisiatif lain seperti penggubalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara dan Akta Sains, serta pembentukan Peta Pandu (Roadmap) Modal Insan dalam bidang STI akan turut membantu usaha memantapkan lagi STI di Malaysia.

Mengenai R&D, YAB Perdana Menteri mengingatkan tentang perlunya menambah baik landskap dan mekanisme pelaburan dalam R&D bagi memastikan pulangan yang setimpal. Fundamental R&D yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi adalah penting.  Walau bagaimanapun, dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, adalah menjadi satu kemestian untuk Malaysia menetapkan keseimbangan antara pelaburan dalam fundamental research dengan market-driven research, dengan sasaran awal 50:50. YAB Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat dan dipertingkatkan lagi.

YAB Perdana Menteri juga menyeru supaya mengimbangkan antara sains dan teknologi dengan sains sosial dan kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara.  Pembangunan berasaskan sains dan teknologi semata-mata, tanpa dilengkapi dengan nilai-nilai sosial dan kemanusiaan boleh mengundang kemudaratan; justeru pendekatan yang holistik perlu diambil bagi mengintegrasikan kedua-dua bidang ini ke arah melahirkan insan-insan yang seimbang dan mapan. YAB Perdana Menteri juga mengingatkan tentang peranan sains, teknologi dan inovasi dalam menangani masalah keperluan asas dan harian masyarakat akar umbi.  “Kita perlu melihat inovasi dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, kesihatan awam dan kemajuan dalam bidang pertanian. Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan memajukan kawasan desa bersesuaian dengan abad ke-21,” jelas beliau.

YAB Perdana Menteri menyambut baik kemajuan kerjasama STI Malaysia di peringkat antarabangsa dengan negara-negara jiran dan rakan dua hala tradisi dan kini menjangkau ke benua Antartika, kawasan Segi Tiga Terumbu Karang dan juga dengan institusi penyelidikan tersohor seperti New York Academy of Sciences.  

Mesyuarat NIC telah membincangkan empat kertas kerja merangkumi trend inovasi dan peluangnya, bidang keutamaan R&D nasional, inovasi akar umbi dan inisiatif penjanaan kekayaan oleh AIM.

Mengenai trend inovasi dan bagaimana Malaysia dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ada daripadanya, NIC berpendapat pendekatan terbaik tidak semestinya melalui peningkatan pelaburan dalam R&D. Sebagai alternatif, syarikat-syarikat Malaysia terutamanya Government-Linked Investment Company (GLIC) harus melabur dalam syarikat-syarikat luar negara yang berteras teknologi (technology rich),  dan mengintegrasi teknologi dan inovasi tersebut di Malaysia bagi pengeluaran produk yang mampu bersaing di peringkat global. Pada masa yang sama, NIC juga bersetuju akses kepada modal risiko (risk capital) di Malaysia perlu ditingkatkan bagi membantu syarikat-syarikat Malaysia meneroka peluang-peluang pelaburan dalam syarikat berteras teknologi yang kompetitif. MOSTI telah diarahkan oleh YAB Perdana Menteri untuk menerajui penyediaan strategi dan peta pandu (roadmap) bagi membantu Malaysia meningkatkan daya saing produk keluaran tempatan dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi global.

NIC turut membincang lapan isu utama yang dicadang diberi keutamaan oleh MSPK dalam R&D negara iaitu keselamatan siber, sekuriti tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim, sekuriti makanan, perubatan dan penjagaan kesihatan, tanaman ladang dan komoditi, pengangkutan dan urbanisasi serta sekuriti air. NIC berpandangan isu R&D berkaitan sekuriti makanan perlu diberi perhatian sewajarnya, terutama dari aspek mengurangkan impot, meningkatkan ketahanan tanaman dan menambah produktiviti. NIC juga menyarankan supaya MSPK mengkaji bagaimana Malaysia dapat menjana kekayaan dengan memanfaatkan secara inovatif produk / tanaman yang bukan asli (non-indigenous) sepertimana dalam kes kelapa sawit dan getah (ikan salmon kepada Chile, buah kiwi kepada New Zealand). Mesyuarat juga bersetuju supaya Kementerian Kewangan mengkaji semula insentif-insentif agar mendorong syarikat-syarikat meningkatkan pelaburan dalam R&D.

Mengenai inovasi akar umbi, NIC bersetuju inisiatif ini perlu disokong kerana pengalaman negara-negara lain menunjukkan ianya bukan sahaja dapat memenuhi keperluan asas dan meningkatkan kualiti hidup bahkan berupaya menjana pendapatan di kalangan masyarakat luar bandar. Justeru, kerajaan akan mengkaji kemungkinan pemberian peruntukan bagi maksud ini.

NIC turut dimaklumkan mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh AIM sejak penubuhannya pada 19 April 2011. Projek-projek penjanaan kekayaan yang telah dilaksanakan ialah Projek Inovasi Strategik, Entry Point Project (EPP) Inovasi dan Projek Syarikat-syarikat Baru. Projek-projek ini mempunyai impak tinggi yang menyumbang terhadap peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) seperti Projek Strategi Biomass Negara, Pengkomersialan Harta Intelek dan pelaburan ekuiti AIM dalam syarikat-syarikat yang mempunyai produk-produk inovatif di peringkat upscaling.

NIC turut mengambil maklum laporan kemajuan inisiatif di bawah Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dan pelaksanaan Tahun Sains Dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI2012)

Tiga projek berimpak tinggi yang dilaksanakan di bawah GSIAC dengan kerjasama New York Academy of Sciences ialah iaitu Pembangunan Modal Insan, Malaysian Biomass Initiative dan Smart City-Smart Village. Kajian Aset Penyelidikan Am juga sedang dilaksanakan bagi menilai dan mentaksirkan situasi serta prestasi semasa penyelidikan dan pembangunan institusi penyelidikan awam di Malaysia.

SGI2012 diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan merupakan kesinambungan kepada program Malaysia Inovatif 2010 dan Program Penggalakan Sains dan Matematik 2011 selari dengan hasrat kerajaan untuk membudaya dan mengamalkan inovasi di setiap lapisan masyarakat. Program ini bertemakan “Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi” dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti sektor awam, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. Lebih 300 program induk telah diatur di seluruh negara, menampilkan empat segmen iaitu Sains dan Matematik, Kesedaran dan Pembudayaan Inovasi, Pengkomersialan dan Pameran serta Inovasi Perkhidmatan dan Pengurusan. Logo dan lagu SGI2012 telah dilancarkan pada 11 Februari 2012.

Memandangkan inovasi merupakan agenda utama negara, NIC yang dipertanggungjawab menetapkan hala tuju strategiknya akan bermesyuarat lebih kerap, iaitu 2 kali setahun mulai tahun 2012.