Skip to main content
News

Mesyuarat Pengurusan Lawatan Rasmi MOSTI Ke Luar Negara dan Lawatan Pembesar Luar Negara Ke Malaysia

12 Februari 2026, Putrajaya – Bahagian Antarabangsa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini telah menganjurkan Mesyuarat Pengurusan Lawatan Rasmi MOSTI ke Luar Negara dan Lawatan Pembesar Luar Negara ke Malaysia yang bertempat di Dewan Perhimpunan MOSTI.
Mesyuarat ini menghimpunkan Pegawai Penyelaras Kerjasama Antarabangsa daripada setiap bahagian dan agensi di bawah MOSTI bagi memperkukuh penyelarasan aspek protokol, taraf lawatan, pemeteraian MoU serta pengurusan lawatan rasmi yang melibatkan Pengurusan Tertinggi MOSTI.
Bagi memastikan pelaksanaan diplomasi STI yang lebih komprehensif, Bahagian Antarabangsa turut menjemput rakan strategik kerajaan persekutuan iaitu Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Protokol dan Konsular Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri (KLN). Turut diadakan ialah sesi perkongsian oleh YBrs. Tuan Ashraf Rezal bin Abdul Manan, Penasihat Undang-Undang MOSTI, serta sesi rumusan isu berbangkit dan soal jawab oleh YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa MOSTI.
Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam memastikan urusan diplomasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dilaksanakan secara profesional, teratur dan selaras dengan keperluan strategik negara.
Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama STI di peringkat antarabangsa selaras dengan Teras 6: Keunggulan Global di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030. Penekanan terhadap diplomasi sains dan pengantarabangsaan STI ini menjadi pemacu penting kepada pembangunan sosioekonomi negara berasaskan teknologi masa hadapan.
Skip to content