13-15 November 2026, Genting Highlands – Bagi merangka hala tuju dan memperkasakan perancangan inisiatif strategik kementerian, Sektor Pembangunan Teknologi (Sektor T), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Perancangan Strategik dan Penetapan Inisiatif Tahun 2027. Mesyuarat selama tiga hari ini berlangsung dari 13 hingga 15 November 2026 bertempat di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, Pahang.
Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk menilai kembali pencapaian dan keberkesanan aktiviti sepanjang tahun 2026, di samping menetapkan sasaran, keutamaan, dan perancangan komprehensif bagi inisiatif Sektor T menjelang tahun 2027. Turut dibentangkan dan dimuktamadkan semasa program ini adalah takwim serta pelan pelaksanaan inisiatif Sektor T bagi memastikan kelancaran gerak kerja pada tahun hadapan.
Selain sesi pembentangan perancangan strategik daripada Bahagian dan Agensi di bawah Sektor T yang melibatkan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MVPO, TSA, PTK, DANA, dan Bahagian Perancangan Strategik, mesyuarat ini turut diserikan dengan penyampaian Amanat oleh YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) selaku urus setia utama mesyuarat, berserta seluruh warga Sektor T yang komited menjayakan program ini. Semoga perancangan yang digariskan akan memacu pelaksanaan inisiatif MOSTI yang lebih teratur, berintegriti, dan berimpak tinggi.




