Skip to main content
News

MIGHT dan UCSI University Anjur Persidangan Antarabangsa Diplomasi Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN

06 Ogos 2025, Cyberjaya – Persidangan Antarabangsa mengenai Diplomasi Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN telah pun bermula secara rasmi hari ini di MIGHT Partnership Hub sehingga esok. Menghimpunkan penggubal dasar, saintis, diplomat, ahli akademik dan pemimpin industri dari seluruh ASEAN dan luar negara bagi membincangkan potensi dan cabaran diplomasi sains sebagai satu mekanisme untuk memupuk kepentingan bersama serta kerjasama serantau dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Persidangan dua hari ini dianjurkan secara bersama olehKumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Institut Antarabangsa untuk Diplomasi Sains dan Kelestarian (IISDS) Universiti UCSI. Ia bertujuan membentuk kesepakatan serantau dalam memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk tujuan diplomasi, pembangunan mampan serta integrasi ekonomi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, YB Tuan Chang Lih Kang, dalam ucapan perasmian menegaskan komitmen Malaysia dalam memajukan diplomasi sains sebagai tonggak kerjasama serantau. Beliau turut menekankan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta peranan proaktif Malaysia dalam merangka Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035 yang baharu. “Diplomasi sains bukan sekadar pertukaran ilmu saintifik, ia adalah tentang membina kepercayaan, memperkukuh perkongsian dan menyelaraskan kekuatan kolektif kita bagi menyelesaikan cabaran yang melangkaui sempadan,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pascasiswazah, Universiti UCSI, YBrs. Profesor Dr. Phang Siew Moi serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Encik Rushdi Abdul Rahim.
Antara sorotan utama persidangan ini adalah cadangan untuk membangunkan pelan hala tuju strategik bagi diplomasi sains di ASEAN.
Inisiatif ini bertujuan membina rangka kerja institusi, keutamaan bersama dan mobiliti bakat bagi menyokong matlamat jangka panjang rantau ini. Selain itu, wakil-wakil negara anggota ASEAN turut menyatakan minat yang tinggi untuk memformalkan platform pertukaran ilmu dan kerjasama institusi. Cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Diplomasi Sains di rantau ini yang dipelopori oleh Malaysia juga sedang diteroka sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang tersebut.
Skip to content