25 Februari 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS yang pertama di Malaysia sempena MIMOS Quantum Day 2025, dengan bertemakan ‘Membentuk Masa Depan dengan Kecerdasan Kuantum’.
Dengan pelancaran Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS, MOSTI memastikan kesiapsiagaan dan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global. Menurut YB Tuan Chang Lih Kang“Malaysia sedang melangkah ke era baharu dalam sains dan teknologi dengan pembangunan ekosistem kuantum. Inisiatif seperti MIMOS Quantum Day mencerminkan komitmen negara dalam meneroka potensi teknologi kuantum untuk memperkukuh ekonomi, mempercepatkan inovasi, dan memastikan daya tahan digital negara”.
Pusat ini akan menjadi platform kerjasama utama yang menghubungkan dasar dengan strategi yang boleh dilaksanakan bagi memacu kemajuan teknologi mendalam, aplikasi kuantum, serta penerapan di peringkat nasional merangkumi kerajaan dan industri. Selain penjajaran dasar, pusat ini akan berfungsi sebagai hab R&D termaju dalam teknologi berkaitan kuantum, memacu penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi. Ia juga akan memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat, membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran khusus yang diperlukan untuk cemerlang dalam era kuantum.
Dengan memupuk kepakaran tempatan dan menarik kerjasama global, Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS akan menjadi pemangkin dalam meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kuantum antarabangsa.
Menyedari peranan dan kepentingan bakat yang berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, Malaysia komited untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) bagi mengukuhkan lagi ekosistem kuantum dan semikonduktor.
MIMOS turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan SDT Inc. dari Korea untuk menubuhkan ‘Lembah Kuantum’ Malaysia, iaitu sebuah hab inovasi yang dinamik.
Hab ini akan berfungsi sebagai ekosistem yang berkembang pesat, di mana syarikat antarabangsa, syarikat pemula (start-up) dan pelabur boleh menubuhkan serta mengembangkan inisiatif Rantaian Bekalan Kuantum mereka. Hab ini akan disediakan dengan infrastruktur bertaraf dunia, memupuk kerjasama rentas sempadan, dan menarik pelaburan luar bernilai tinggi bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi kuantum Malaysia.