Skip to main content
News

Minggu Sains Negara 2025 Perkasa Minat Pelajar Terhadap Dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

04 Mei 2025, Sarawak – Minggu Sains Negara (MSN) 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kembali dengan pendekatan yang lebih mantap dan inklusif, membawa semangat baharu dalam menyemarakkan minat pelajar serta masyarakat umum terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, program ini bertujuan menjadikan ilmu sains dan teknologi lebih mudah diakses, difahami dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Sarawak menjadi lokasi pertama penganjuran MSN bagi tahun 2025 dan berlangsung selama tiga (3) hari, bertempat di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan. MSN Zon Sarawak dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan UiTM Cawangan Sarawak.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, MSN dianjurkan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar, pendidik, institusi pengajian tinggi, industri dan orang awam dalam memperkukuh pemahaman serta minat terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI). Berdasarkan sambutan positif tahun lalu, MOSTI menyasarkan lebih 300,000 penyertaan tahun ini menerusi lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang dirancang bagi memastikan impak program kekal berterusan, relevan dan menyeluruh kepada semua kumpulan sasaran.
Hadir sama YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBrs. Haji Husini bin Bakir, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak; YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; YBrs. Prof. Dr. Firdaus Bin Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Sarawak dan YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara.
Di bawah inisiatif MSN 2025, dua program penjelajahan sains utama dijangka memberi tumpuan iaitu Kembara Sains Borneo dan Rehlah Sains. Kedua-dua program ini merupakan usaha strategik MOSTI untuk memastikan manfaat pembudayaan STI dinikmati secara menyeluruh, merentas geografi termasuk kawasan pendalaman dan pinggir bandar. Ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam mendekatkan sains kepada rakyat tanpa mengira halangan lokasi.

Program MSN 2025 akan menjelajah ke enam (6) zon utama di seluruh negara, bermula di Sarawak, diikuti Sabah, Terengganu, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pameran pendidikan STEM, persembahan sains yang mengujakan, kuiz interaktif, bengkel pendidikan dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan.

Skip to content