25 Oktober 2025, Kedah – Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara telah menjadi tuan rumah bagi Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Utara. Penganjuran program-program berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ini merupakan contoh amalan terbaik dalam pembangunan ilmu pengetahuan di Malaysia.
Negeri Kedah kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, guru dan masyarakat umum.
Dalam ucapan perasmian, YB Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi Dan Sains, Teknologi & Inovasi menekankan bahawa Minggu Sains Negara merupakan platform penting untuk menyemai minat, mencetus inspirasi, dan menghubungkan generasi muda dengan dunia sains yang luas.
MOSTI komited meneruskan program pembudayaan STI secara konsisten dan inklusif, agar impaknya dapat dirasai secara menyeluruh serta membentuk masa depan negara berasaskan ilmu dan teknologi.
Turut hadir, YBrs. Puan Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Encik Mohammad Fuad Bin Rahman, Pengarah, Pusat Sains Negara MOSTI, YBrs. Encik Shahrizal Bin Shahrudin, Pengarah, Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC), YBrs. Ts Khoo Boo Wooi, Ketua Pegawai Eksekutif, Tech Dome Penang.





