Skip to main content
News

Misi 100 Hari CEPI

10 Februari 2025, Putrajaya – Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) dalam usaha membangunkan vaksin serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pandemik.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim, hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif CEPI, En. Richard Hatchett, bagi membincangkan usaha strategik dalam pembangunan vaksin. Dalam pertemuan ini, Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Misi 100 Hari CEPI yang bertujuan mempercepatkan pembangunan vaksin bagi menangani wabak di masa hadapan.
Sebagai kesinambungan kepada pertemuan tersebut, satu sesi meja bulat telah diadakan pada sebelah petang yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan, bersama delegasi CEPI. Mesyuarat ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah, serta lebih 20 wakil daripada industri, institusi penyelidikan, akademia, dan agensi regulatori.
Sesi ini memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, latihan dan penempatan saintis Malaysia dalam program CEPI serta pengukuhan ekosistem penyelidikan tempatan. Malaysia turut melihat peluang untuk memperkukuh keterlibatan dalam pelbagai inisiatif CEPI, termasuk penawaran geran, program Global South Fellowship, peluang peminjaman, latihan berkaitan regulatori serta penyertaan dalam rangkaian kerjasama CEPI.
Skip to content