12 Mei 2025, Jepun – Semasa majlis perasmian minggu MOSTI, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad turut menyaksikan pemeteraian sebanyak 7 MoU antara syarikat teknologi Malaysia dan pihak Jepun dalam bidang bioteknologi, hidrogen, dan robotik. Kerjasama antarabangsa ini adalah sejajar dengan objektif untuk menjadikan Ekspo Dunia sebagai platform strategik kepada syarikat teknologi tempatan dan pemain industri untuk menembusi pasaran global.
Selepas sesi pemeteraian MoU tersebut, YBhg. Datuk Seri KSU telah mengadakan lawatan kerja ke Pavilion Perancis, Kanada dan Switzerland. Lawatan tersebut turut disertai oleh YBrs. Encik Boniface anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D MOSTI.
Pavilion Perancis bertemakan “A Hymn to Love” menumpukan kepada seni, budaya dan fesyen melalui teknologi yang canggih menggunakan LED, visuals dan bahan digital lain. Pavilion Kanada bertemakan “Regeneration” telah mempamerkan inovasi, budaya dan tempat-tempat menarik di Kanada menggunakan Virtual Reality. Switzerland dengan temanya “From Heidi to High-Tech” menekankan kecemerlangan dalam pendidikan STEM dan teknologi hijau serta inovasi.
Lawatan ini membuka peluang kerjasama strategik dalam bidang sains, teknologi dan inovasi sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.