21 November 2024, Putrajaya – Pada 21 November 2024 (Khamis), sempena perayaan Deepavali, satu majlis sambutan dengan tema: MOSTI Festival of Lights 2024 telah diadakan buat julung kalinya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meraikan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan dalam kalangan warga MOSTI.
Perayaan Deepavali, melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebenaran mengatasi kejahatan, dan harapan mengatasi cabaran. Ia mengingatkan kita tentang pentingnya menyemarakkan nilai-nilai positif dalam kehidupan, sama ada dalam kerja, masyarakat, mahupun dalam diri kita sendiri. Tema “Festival of Lights”, selari dengan aspirasi MOSTI untuk menjadi peneraju dalam memancarkan cahaya pengetahuan, inovasi, dan teknologi ke seluruh pelosok negara.
Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha dan telah dihadiri oleh warga MOSTI. Pelbagai juadah dan hidangan makanan tradisional India telah disajikan. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar sekolah SJKT Taman Permata, Dengkil, Selangor. Kejayaan majlis ini adalah satu bukti nyata bahawa perpaduan dan keharmonian adalah asas kepada kemajuan negara.