9 Jun 2026, Kuching – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mewakili YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghadiri Majlis Perasmian Asia Pacific Green Hydrogen Conference and Exhibition (APGH) 2026 yang disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.
APGH 2026 merupakan platform strategik yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, pelabur dan pakar dari seluruh dunia bagi meneroka peluang kerjasama, mempamerkan inovasi serta mempercepat pembangunan ekonomi hidrogen dan tenaga bersih.
Penyertaan MOSTI dalam APGH 2026 mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memacu inovasi dan teknologi hidrogen selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI ke arah pembangunan ekonomi yang mampan, berdaya saing dan rendah karbon.
Terdahulu, YBhg. Dato’ KSU telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Datuk Dr. Haji Hazland bin Haji Abang Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty). Sesi tersebut membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan ekosistem hidrogen negara serta mempercepat agenda peralihan tenaga hijau.
Turut hadir YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Encik Arunan Kumaran daripada Bahagian Perancangan Strategik serta YBrs. Ir. Tengku Kahar Muzaffar Tengku Mohd Yusof Anuar daripada NanoMalaysia Berhad.




