Skip to main content
News

MOSTI Mempercepatkan Agenda Inovasi

25 Ogos 2022, Bukit Jalil – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengumumkan penutupan ‘Supercharger Series’ iaitu satu siri kerjasama antara akademik dan industri yang diketuai oleh agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), dalam mempercepatkan kadar Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara.

Berucap pada majlis penutupan tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba mengumumkan jalinan kerjasama MRANTI dengan lima (5) institusi pengajian tinggi bagi ‘Supercharger Series’ untuk membawa 50 harta intelek terbaik syarikat spin-off ke laluan pengkomersialan. Lima universiti berkenaan adalah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MRANTI dan Asiatech Education Sdn. Bhd. Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan memberi fokus kepada kepakaran institusi untuk penubuhan ekosistem keusahawanan dengan menyediakan khidmat nasihat dalam bidang keusahawanan, pengkomersialan dan penyelidikan berkaitan inovasi serta pembangunan program, latihan dan aktiviti perundingan.

Untuk meningkatkan kedudukan sebagai negara berekonomi tinggi, dipacu inovasi, Malaysia perlu memastikan keselamatan bekalan penyelidikan dan pembangunan (R&D) diterjemahkan kepada pengkomersialan yang berjaya. Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 1.04 peratus kepada 2.5 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D ini akan diarahkan untuk penyelidikan pembangunan eksperimen yang merupakan antara keperluan utama dalam memacu lebih banyak produk dan penyelesaian berasaskan industri bernilai tambah tinggi sejajar dengan keutamaan negara.

“Pada tahun ini, inisiatif-inisiatif di bawah MRANTI dijangka memberi impak kepada 5,000 bakal usahawan, mencipta 50 proof-of-concept, prototaip atau produk, memanfaatkan 1,250 pemilik perniagaan dan mencipta nilai ekonomi sebanyak RM500 juta,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

Tambahnya lagi, “MRANTI juga menjalin bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melalui inisiatif Technology Innovation Support Centre (TISC). Ia merupakan program bertaraf global oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di mana MyIPO bertindak sebagai penyelaras tempatan TISC di Malaysia sejak 2016. Sukacita saya umumkan di sini, MRANTI telah dilantik sebagai salah satu agensi TISC di Malaysia.”

Dari segi infrastruktur, pada masa ini MRANTI Park ada menyediakan kemudahan dan infrastruktur bersepadu untuk inovator dan usahawan yang 4IR-ready; menawarkan program dan intervensi yang disasarkan; serta menghubungkan ekosistem memandangkan ianya menggunakan portfolio besar industri dan rakan kongsi korporat.

Program ‘Supercharger Series’ akan diteruskan dengan satu siri jelajah di universiti terpilih dan akan berlangsung sehingga Jun 2023. Sesi ini seterusnya akan diadakan di Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Sains Malaysia disusuli dengan universiti penyelidikan yang lain.

Hadir sama pada Majlis ini ialah YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Dr. K. Nagulendran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, MRANTI.

Untuk pendaftaran ‘Supercharger Series dan maklumat lanjut, sila layari www.mranti.my.

Skip to content