Skip to main content
News

MOSTI SASAR LANCAR DASAR INOVASI SOSIAL NEGARA PADA TAHUN 2023

15 Oktober 2022, Bera – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) hari ini melancarkan Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera, Pahang dalam usaha memartabatkan lagi pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan rakyat terutamanya komuniti luar bandar, golongan B40 dan golongan yang terkesan akibat COVID-19.

‘Kerajaan melalui MOSTI melihat inovasi sosial mempunyai peluang yang besar untuk menyelesaikan isu sosial yang mendesak. Ia turut berpotensi untuk membawa perubahan dalam mencipta peluang pekerjaan melalui pasaran baru yang boleh dibangunkan daripada idea inovator akar umbi’ kata YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam ucapannya semasa merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang.

“Kita mesti melihat kepada inovasi sosial untuk merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan. Pemulihan tahun 2022 bukanlah semata-mata tentang KDNK sahaja tetapi pembangunan yang terangkum dari semua aspek.

Tambah beliau, “Dengan memberikan tumpuan inovasi di peringkat serantau dan tempatan, inovasi sosial dapat dipupuk menggunakan pendekatan yang berbeza menerusi pembangunan inkubator (inovasi) sosial seperti program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia. Jika kita lihat secara lebih dekat, inovasi sosial mempunyai peluang besar untuk menyelesaikan isu sosial yang mendesak. Ia berpotensi untuk membawa perubahan yang besar dalam mencipta peluang pekerjaan melalui pasaran baharu yang boleh dibangunkan daripada idea inovator akar umbi.”

Menyedari kepentingan inovasi dan teknologi merentas pelbagai aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar, MOSTI percaya Inovasi Sosial dapat membantu menggalakkan penyertaan komuniti untuk menghasilkan produk inovasi yang mempunyai misi sosial yang jelas.

MOSTI melalui YIM telah menyiapkan Pelan Hala Tuju Inovasi Sosial dan dalam rangka membangunkan Dasar Inovasi Sosial Negara yang dijangka akan dilancarkan pada tahun 2023.

Dasar ini akan dijadikan sebagai panduan holistik menyokong ekosistem inovasi sosial dan matlamat Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Ia juga merupakan strategi jangka panjang untuk menyokong agenda ‘Negara Berteknologi Tinggi dan Inklusif Digital’.

Semasa pembentangan bajet 2023, MOSTI telah diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan sebanyak RM1.062 bilion. Daripada jumlah tersebut, YIM telah diberikan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi program pembangunan dana Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).

Susulan perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim turut menyaksikan penyerahan Surat Hasrat Kerjasama antara YIM dan Universiti Malaysia Pahang. Kerjasama ini melibatkan penyediaan latihan dan pembangunan kapasiti dalam bidang inovasi kepada komuniti di kawasan Bera.

 

         

         

Skip to content