05 November 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi meneruskan sesi MOSTI Tech Talks siri ke-7 yang bertajuk “Chips, Careers and Country: The Race for Malaysia’s Advanced Tech Leadership” di UCSI University, Kuala Lumpur.
YB Menteri menegaskan bahawa Malaysia perlu melangkah lebih jauh bukan sekadar sebagai pengeluar teknologi, tetapi sebagai negara yang mampu menguasai dan menerajui kemajuan teknologi. Beliau turut menggesa golongan muda agar berani meneroka bidang semikonduktor, kecerdasan buatan dan teknologi termaju bagi memastikan Malaysia terus maju dalam kepimpinan teknologi dunia.
Tambah beliau, melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, MOSTI berperanan memperkukuh tadbir urus STI, mempergiat R&D&C&I, memacu industri berasaskan teknologi tempatan serta memperkasa bakat tempatan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing di pentas global.
Sesi dimulakan dengan perkongsian oleh YB Menteri, diikuti YBrs. Encik Ong Chin Hu, Ketua Pegawai Eksekutif Tenasic Technology dan sesi soal jawab dikendalikan oleh YBrs. Dr. Nordin bin Ramli, Ketua Diplomasi Teknologi MIMOS.
Sesi ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ruziah bt Shafei, Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Pn. Marhayani binti Md Saad, Ketua Pengarah, Jabatan Kimia Malaysia serta pengurusan tertinggi MOSTI dan UCSI University termasuk warga UCSI.





