1 Julai 2026, Kuala Lumpur – YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi Taman Agro-Perindustrian Sabah (SAIP) yang diketuai oleh Pengurus Besarnya, Encik Annef Osyairi Osman, bersama barisan pengurusan SAIP di Bangunan Parlimen. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).
Pertemuan ini membincangkan potensi kerjasama strategik antara MOSTI dan SAIP dalam memperkukuh pembangunan sektor agro-perindustrian melalui pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi (STI).Antara perkara yang dibincangkan termasuk potensi pemanfaatan pelbagai inisiatif di bawah MOSTI bagi menyokong pembangunan ekosistem SAIP, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan teknologi, pembangunan usahawan, pemindahan teknologi serta pengukuhan rantaian nilai industri agro.
SAIP turut membentangkan perkembangan ekosistem pembangunan agro-perindustriannya yang merangkumi kemudahan pemprosesan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta perkhidmatan sokongan perniagaan bersepadu bagi mempercepat pertumbuhan dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Kerjasama strategik ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan industri bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh penyertaan komuniti tempatan serta menyokong pembangunan ekonomi Sabah dan Malaysia secara mampan melalui pendekatan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.




